Semalam lepas aku fikir masak-masak, aku ambil satu keputusan yang berat bagi aku. Malah sampai saat ini pun aku masih sedih dengan keputusan yang aku buat... Aku terpaksa lepaskan seseorang yang sangat baik bagi aku... Saat hati aku mula terbuka untuk menerima tapi seringkali juga hati aku terluka....
Aku sedar aku tak baik mana pun.. hati aku dah lama tertutup untuk mencintai insan bergelar lelaki tapi muncul seseorang yang berjaya melembutkan hati aku, yang berjaya mengetuk pintu hati aku... Aku seringkali titipkan doa pada Allah jika dia jodohku, lelaki yang bakal membimbingku ke jannah maka Kau bukakanlah pintu hati aku menerimanya dan Alhamdulillah lembut juga hati aku..
Kami tak pernah declare apa-apa. Di awal perkenalan telah ku pesan padanya jangan menaruh harapan padaku sebab pengalaman aku yang lepas banyak yang mengecewakan. Dan kami terus berkawan, berhubung dan adakalanya keluar bersama (Ampunkan khilafku ya Allah kerana mengikut godaan syaitan). Aku lihat sisi baiknya. Memang dia tak punya pendidikan tinggi sepertiku, malah kerjanya juga bawah dari aku dan tentunya gaji dia lebih kecil dariku.
Awalnya pernah juga aku memikirkan tentang soal kewangan dan statusnya. Namun aku serahkan pada Allah. Tak putus doaku agar Allah tunjukkan jalan dan semakin hari bila aku banyak mengetahui tentang diri dia aku rasakan dialah yang bakal menjadi imamku.. Tapi dalam setiap perhubungan pasti ada pasang surutnya dan aku percaya kerana ego kami berdua aku ambil keputusan yang aku percaya akan mengecewakannya. Malah aku juga.
Semalam setelah sekian lama kami masing-masing mendiamkan diri, aku ambil keputusan mengalah. Menghadap kiblat yang satu, aku pohon pada Allah andai keputusan yang aku buat ini yang terbaik buat diriku, hilangkan rasa ragu-raguku. Dan sesudah Isyak, mesej yang berjela aku taip aku hantar kepadanya...
Hari ini, aku menangis. Aku tak menyesal tapi aku sedih terpaksa memutuskan hubungan yang pada asasnya tiada cacat celanya. Semuanya kerana ego. Dia dengan egonya dan aku dengan egoku. Sejak 1 Muharram lalu aku berdoa untuk menjadi hamba yang lebih baik dan sebab itulah aku putuskan semuanya agar aku dapat menumpukan cintaku pada yang sebenar-benarnya... Allah Yang Esa.
Sudah terlalu lama aku berdosa, lalai dengan duniawi dan kini aku berusaha untuk melalui hari mendatang dengan bertaubat dan beramal kepadaNya. Aku percaya jika kuat cintaku kepada Allah, satu hari nanti dia akan hadirkan yang terbaik bagiku. Sebab Allah tak pernah dan tak mungkin mengecewakan hamba yang menyintaiNya.
Aku dalam proses untuk berubah dan aku berharap agar terus istiqamah...
Buat awak yang pernah hadir dalam hidup saya... terima kasih kerana menjadi sebahagian watak indah dalam perjalanan saya... Awak banyak mengajar saya menjadi orang yang baik, anak yang baik. Saya doakan awak bertemu zaujah yang lebih baik dari saya.
Kutinggalkan cinta
Dengan diiringi seribu doa
Moga kau kan bertemu seorang pencinta
Yang jauh sempurna
No comments:
Post a Comment