Assalamualaikum...
Sebelum In terus baca surat abang ni, abang nak minta maaf sebab, dalam zaman yang serba canggih dan moden ni abang masih memilih untuk menggerakkan jari menarikan mata pena di atas sekeping kertas. Orang lain mungkin lebih selesa ber’facebook’, ber’twitter’ atau ber’sms’ tapi abang inginkan privacy. Perlu ke abang luahkan perasaan di twitter untuk orang lain membaca luahan hati abang? Perlu ke abang melayang mesej di facebook dan mana tau tiba-tiba akaun abang kena hack? Dan perlu ke abang hantar mesej guna handphone sedang spacenya terlalu kecil untuk memuatkan luahan hati abang ni? Mesti In tertanya-tanya, kenapa tak jumpa atau call aje? Jawapannya senang. Abang malu. Hehehe. Boleh terima tak alasan tu?
Kalau tadi abang minta maaf pada In tapi kali ni abang nak ucap terima kasih pula. Kenapa? Sebab In muncul dalam hidup abang. Sejak abang jumpa In abang rasa hidup abang indah sekali. Abang ramai jumpa wanita malah jujur abang cakap ada antaranya yang pernah singgah menghuni ruang di hati abang tapi ikhlas abang cakap yang tiada seorang pun yang dapat menandingi Nurin Arianna. Ingat lagi tak kali pertama kita berjumpa? Siapa sangka pertemuan yang awalnya bermula dengan pertengkaran akhirnya berjaya membuat abang terigau-igaukan In. Setiap kali abang teringatkan In, pasti jari abang akan menyentuh dahi yang masih berparut kesan balingan buku berkulit tebal kepunyaan In dulu.
In, ramai kawan abang tertanya-tanya apa yang merasuk abang sehingga tergila-gilakan In. Bukanlah maksud mereka yang In ni tak cantik, tak baik, tapi mereka pelik macam mana playboy macam abang yang selalunya berdamping dengan wanita yang selalunya pakai baju tak cukup kain boleh jatuh hati pada gadis manis bertudung seperti In. Dan abang rasa mungkin kawan-kawan In pun pelik macam mana In boleh sangkut dengan lelaki player macam abangkan?
In, sekali lagi abang ingin mohon maaf pada In. Hubungan kita pernah tergugat, bukan sebab In tapi abang, kerana sikap abang. Abang kecewakan In, abang lukakan hati In dan abang curang pada In kerana mengikut nafsu abang yang sukakan keseronokan duniawi, sedang dengan In nak pegang tangan waktu dating pun tak boleh. Jahilnya abang, sehingga hukum Islam abang abaikan. Tapi terima kasih sekali lagi kerana In, abang banyak belajar dari kesilapan. Bila abang kehilangan In untuk seketika abang rasa dunia abang kosong. Dan sebab itu abang tak malu untuk menagih cinta In kembali kerana abang tahu hanya In yang mampu membantu abang untuk berubah menjadi manusia yang lebih baik.
Satu petang waktu kita keluar makan, dalam kereta, kat radio Era, Akim menyanyikan lagunya ‘Janji’. In bagi tahu abang, sepatutnya abang yang nyanyi lagu tu sebab lirik lagu tu kena dengan abang. Dan demi In abang belajar menyanyikan lagu tu walaupun genre muzik yang dibawakan oleh Akim tu bukanlah aliran muzik yang abang suka. Dan dengan rasa bangganya abang berjaya menyanyikan lagu tu sambil memetik gitar waktu birthday party In. Walaupun suara abang taklah mantap sangat macam penyanyi tapi abang puas bila melihat bibir manis In mengukir sebuah senyuman dari mula abang mendendangkan lagu tu sampailah abang bangun dari kerusi dan melangkah ke arah In.
In, abang janji abang akan menjaga In, abang takkan lukakan In untuk kedua kalinya dan abang perlukan sokongan In untuk terus menjadi manusia yang lebih baik. Terima kasih sekali lagi kerana buat tidur abang sentiasa dihiasi mimpi-mimpi indah dan terima kasih kerana In juga telah menjadikan mimpi abang satu realiti kerana menerima lamaran abang untuk menjadi suri hati abang. Abang janji akan menjadi suami yang baik buat In dan abang ingin sekali In menjadi bidadari abang seandainya syurga dijanjikan buat abang. Mulai esok kita bersama-sama akan melayari bahtera rumahtangga bersama dan abang berdoa biarlah bahtera kita sentiasa kukuh dan utuh dan mampu pula memberikan perlindungan kepada orang lain. Amin.
Terima kasih Nurin Arianna kerana berjaya menjadikan abang mengenal erti jiwang yang selalu abang perlekehkan sebelum ini.
p/s: jangan ketawakan abang bila baca surat ni.
Love you,
Aidid Ziqri Abdul Halim