Novel ini mengisahkan perjuangan perajurit negara, Kapten Hassan yang berjuang menentang keganasan komunis semasa zaman darurat di Malaysia. Kapten Hassan atau nama sebenarnya Hassan bin Haji Osman lahir pada tahun 1927 di Kampung Batu 12, Mantin, Negeri Sembilan. Pada zaman pemerintahan Jepun, Hassan berkahwin dengan isteri pertamanya untuk mengelak daripada ditangkap Jepun menjadi buruh paksa. Namun begitu satu tragedi menimpanya apabila isteri dan ibu mertuanya telah dibunuh oleh Bintang Tiga pada zaman Jepun.
Setelah Jepun menyerah kalah, Kumpulan Bintang Tiga telah mengganas dan membunuh mereka yang dianggap membantu Jepun. Hassan meninggalkan kampungnya untuk belajar ilmu mempertahankan diri di Melaka dan Batu Pahat. Beliau kemudiannya menyertai Kor Rejimen Askar Melayu dan ditempatkan di Taiping dan memburu pengganas komunis di Sungai Temenggor, di Hulu Perak.
Sepanjang khidmatnya, Hassan telah memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam kerjayanya dan dianugerahkan dengan penghargaan antaranya Bintang Perkhidmatan Cemerlang. Namun begitu Hassan juga diuji dengan pelbagai cabaran antaranya usaha pihak komunis yang cuba menangkapnya dengan menghantar Ah Kiew atau Ah Moi untuk menggoda Hassan dan kegagalannya dalam ujian kenaikan pangkat. Akibat kegagalan itu perkhidmatan Hassan ditamatkan tanpa mendapat pencen bulanan.
Hassan dipanggil semula menyertai perkhidmatan tentera setelah rayuannya kepada Tun Abdul Razak Dato' Hussein berjaya. Beliau berkhidmat dengan Askar Wataniah di Kem Rasah, Rasah, Negeri Sembilan. Pada tahun 1967, Kapten Hassan bersara dan menjalankan perniagaan Hentian Puduraya. Pada 1991 beliau meninggal duni di Hospital Besar Seremban.